Alternatif Harimau Malaya

Pada masa ini, enam pemain utama skuad negara berdepan kecederaan dengan terbaharu, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi yang mengalami kecederaan pangkal paha pada hari keempat sesi latihan pusat.

Perkara itu membuatkan Cheng Hoe sedia memberi peluang kepada pemain yang kurang beraksi atau belum pernah diturunkan terutamanya pemain tengah Sabah, Mohd. Azizan Nordin yang sudah setahun tersisih untuk beraksi.

“Shahrel Fikri mengalami kecederaan dan hanya sempat menjalani separuh latihan semalam. Kita sedang memantau kecederaannya sama ada boleh beraksi menentang Sri Lanka nanti. Apa pun, kena tunggu laporan perub4tan pasukan.

“Menjadi tanggungjawab saya sebagai jurulatih untuk mencari alternatif apabila berdepan masalah seperti ini. Kemungkinan besar saya akan memberikan peluang kepada pemain yang jarang mendapat tempat ketika berdepan Sri Lanka.

“Saya selalu mengingatkan mereka supaya jangan berasa tertekan apabila disenaraikan beraksi nanti tetapi akan menggalas tugas dengan sempurna dalam setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pusat di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Terdahulu pemain Perak, Shahrul Saad, Brendan Gan dan J. Partiban manakala jeneral tengah Pahang, Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan pemain Felda United, Muhammad Daniel Amier Norhisham melengkapkan senarai lima pemain yang berdepan keced3raan ketika membantu pasukan masing-masing dalam kempen Piala Malaysia.

Sementara itu, kehadiran semula pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak membuatkan Cheng Hoe kembali yakin barisan belakang pasukan akan kembali ampuh selepas mereka dibolosi lima gol daripada tiga perlawanan sebelum ini.

“Sudah pasti kita perlukan Aidil sebagai seorang pemain yang berpengalaman kerana kita perlukan kestabilan dalam pasukan.

“Pertahanan perlu terus tingkatkan prestasi kerana statistik bolos agak besar juga dan tidak memuaskan. Bahagian serangan juga harus dipertingkatkan kerana kita cipta banyak peluang, tetapi tidak menjaringkan begitu banyak gol,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*