Barca perlu rehatkan Messi

Pemain le-genda Barcelona, Rivaldo mencadangkan supaya pemain terbaik dunia, Lionel Messi direhatkan pada aksi menentang Sevilla dalam saingan La Liga awal pagi esok. Messi dilaporkan masih belum cergas dan Rivaldo percaya waktu rehat yang diberikan itu akan memberi kebaikan kepada bintang Argentina tersebut serta Barcelona dalam jangka masa panjang.

“Perlawanan menentang Sevilla adalah sangat penting, namun saingan La Liga masih lagi panjang. Barcelona perlu melindungi Messi daripada kecederaan. Pemain itu masih belum cergas dan dia mungkin akan mengalami kecederaan yang lebih serius jika diturunkan.

“Pemain yang masih belum cergas digalakkan untuk mengekalkan rentak permainan mereka pada sesi latihan. Kita tidak perlu menekan mereka kerana pemain yang tidak cergas berisiko tinggi untuk mengalami kecede-raan di atas padang.

“Saya tidak menafikan semangat Messi yang sentiasa mahu turun ke padang. Ini kerana dia mahu membantu pasukan dan dirinya supaya berada pada tahap terbaik,” kata bekas bintang Brazil tersebut.

Dalam pada itu, Rivaldo, 47, berharap masalah yang membelenggu Real Madrid akan menemui jalan penyelesaian tidak lama lagi.

Katanya, Real sepatutnya memberi sokongan penuh kepada jurulatih, Zinedine Zidane kerana bukan semua masalah dapat diatasi dengan membawa masuk jurulatih baharu.

“Real perlu fokus untuk membentuk strategi baharu mereka. Zidane telah membuktikan dia adalah pengurus terbaik dengan menghadiahkan gelaran hatrik Liga Juara-Juara kepada pasukannya,” jelasnya

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*