Hup Wei lakar sejarah baharu

JAGUH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei membuktikan bahawa keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang memilihnya beraksi di Kejuaraan Olahraga Dunia 2019 atas tiket wildcard adalah satu tindakan yang tepat, apabila dia menjadi atlet pertama negara layak beraksi di pentas final pada Sabtu ini.

Hup Wei, 32, berjaya me­nempah tiket kelayakan ‘bukan automatik’ dalam acara saringan Kumpulan B setelah melepasi ketinggian 2.29 meter (m) pada percubaan terakhir di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha malam kelmarin.

Ini catatan peribadi terbaik buat atlet berusia 32 tahun tersebut yang sebelum ini merekodkan lompatan 2.27m pada musim ini.

“Saya sangat seronok dengan persaingan pada Kejuaraan Dunia ini. Catatan ini juga amat memuaskan hati saya. Saya tidak sangka dapat melakukan catatan terbaik peribadi di sini, tetapi saya yakin dapat melepasi ketinggian 2.26m.

“Pada final nanti, saya janji akan buat yang terbaik. Misi saya adalah untuk melepasi ke­tinggian dalam percubaan pertama setiap lompatan,” jelas Hup Wei menerusi portal Podium Olahraga kelmarin.

Pencapaian itu menyaksikan pemenang pingat emas Kejua­raan Asia 2007 tersebut hampir menyamai rekod kebangsaan 2.30m milik rakan senegara, Nauraj Singh Randhawa.

Dia sebelum ini, pernah berada pada kemuncak prestasi dengan memecahkan rekod kebangsaan 2.24m yang berusia 13 tahun milik Loo Kum Zee pada 2008, sekali gus melayakkannya ke Sukan Olimpik 2008.

Hup Wei juga menjadi satu-satunya wakil negara di Kejuaraan Dunia 2019, selepas Malaysia dibenarkan menghantar seorang sahaja atlet tiket wildcard kerana tiada atlet lain yang berjaya melepasi syarat kelayakan secara merit.

Kelayakan merit untuk acara lompat tinggi di Kejuaraan Dunia ini ialah 2.30m dan Hup Wei mempunyai 2.27m sebagai catatan terbaiknya musim ini, sekali gus mengatasi pemegang rekod kebangsaan (2.30m), Nauraj yang mempunyai catatan 2.26m.

Selain memecahkan rekod kebangsaan, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu juga berpeluang layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo tahun depan sekiranya berjaya melepasi had kelaya­kan 2.33m pada final Sabtu ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*