Lee Zii Jia ada potensi baiki kedudukan ke kelompok 10 terbaik dunia

PRESTASI yang ditampilkan perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan minggu lalu seolah-olah memberi gambaran bahawa dia sebenarnya mampu untuk berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia.

Zii Jia yang berada pada ran­king ke-16 dunia, menampilkan aksi cemerlang pada kejohanan yang berlangsung di Incheon itu apabila menyingkirkan bekas juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark di pusingan kedua.

Bagaimanapun, langkah pemain berusia 21 tahun itu tersekat di suku akhir apabila akur dengan kehebatan pemain No. 1 dunia dari Jepun, Kento Momota dengan 15-21, 19-21.

Pengarah Kejurulatihan Persa­tuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berpendapat, Zii Jia memiliki masa depan yang cukup cerah sekiranya terus be­kerja keras bagi memperbaiki corak permainannya.

“Jika dilihat pada prestasi Zii Jia sepanjang Terbuka Korea Selatan sebelum ini, dia sudah menunjukkan satu peningkatan yang sangat bagus. Apa yang pasti, dia lebih bijak untuk membaca corak permainan pemain lawan.

“Ketika bertemu Momota, dia sudah berikan segala-galanya, cuma lawannya itu ada kelebihan dari segi mental dan fizikal. Jus­teru, Zii Jia perlu kerja lebih keras untuk pastikan permainannya lebih stabil,” kata Choong Hann.

Ketika ditanya sama ada pukulan kilas kencang yang dilakukan Zii Jia ketika bertemu Momota tempoh hari merupakan senjata rahsianya atau pun tidak, Choong Hann menegaskan, pukulan se­perti itu hanya boleh dilakukan pada masa sesuai.

“Itu (pukulan kilas) hanya boleh dilakukan apabila ada peluang mengizinkan. Untuk menggelar pukulan itu sebagai senjata, saya fikir masih terlalu awal, namun saya yakin ia boleh diperbaiki dan digunakan pada perlawanan akan datang,” ujarnya lagi.

Ketika menentang Momota pada aksi suku akhir Jumaat lalu, Zii Jia melakukan pukulan kilas kencang sebanyak dua kali sehingga membuatkan lawannya yang juga juara dunia terpaku seketika.

Gayanya itu mula menjadi viral dalam kalangan peminat badminton di media sosial yang menyifatkan pukulan tersebut merupakan satu kemahiran baharu yang wajar dijadikan sebagai senjata utama buat dirinya apabila beraksi di ge­langgang selepas ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*