Satu pengajaran berguna – Klopp

Pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp enggan mengkritik prestasi anak-anak buahnya yang dipaksa berpeluh, sebelum mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Red Bull Salzburg dalam aksi Kumpulan E saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi semalam.

Pada perlawanan di Anfield itu, Salzburg bangkit daripada ke­tinggalan 0-3 untuk mengikat kedudukan 3-3 sebelum penye­rang sensasi The Reds, Mohamed Salah meledak gol kemenangan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat juara bertahan itu.

Menurut Klopp, banyak perkara positif yang boleh diambil daripada aksi berkenaan berbanding mengkritik kelemahan pasukannya yang dilihat begitu ketara di bahagian pertahanan.

“Saya mahu pemain kami menjadikan perlawanan kali ini sebagai pengalaman berguna buat mereka. Secara jujurnya, saya lihat pemain kami beraksi dengan cukup luar biasa ketika mendahului 3-0 dalam tempoh 30 minit.

“Namun, saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana pemain seperti membiarkan pasukan lawan mendominasi perlawanan dengan melakukan asakan bertali arus ke kubu pertahanan.

“Saya berusaha untuk tidak marah dan saya harap pemain menjadikan keputusan ini sebagai iktibar. Apa yang pasti, pujian juga wajar diberikan untuk pasukan lawan yang mempamerkan prestasi cukup memberangsangkan,” katanya.

Liverpool akan mengalihkan tumpuan kepada aksi Liga Perdana England (EPL) apabila dijadual menentang Leicester City di Anfield pada malam esok

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*